Tuesday 15 December 2009

::TV, Drama dan Artis Melayu::




bahagian akhir.

Merungkai kisah kehidupan artis melayu yang heboh diperkatakan dalam rancangan-rancangan hiburan terkenal dalam televisyen. Letih dan penat mendengar bermacam kisah buruk kehidupan mereka yang dikelilingi oleh peminat fanatik. Tidak sekadar itu, artis seringkali menjadi perhatian umum apabila membuat apa sahaja aktiviti diluar. Lega apabila dapat bergambar dan ramah mesra dengan mereka. Bukan selalu dapat berjumpa. Golongan pakcik dan makcik juga tidak ketinggalan sama.

Gambaran masyarakat terhadap artis biasanya berlaku apabila mereka membawa sesuatu perwatakan didalam televisyen. Apabila seorang artis ditugas membawa watak yang baik, maka paradigma masyarakat sudah pun menerima bahawa beliau seorang yang baik. Sekiranya watak yang dibawa orang lain memperlihatkan kejahatan dan keburukan, maka paradigma sudah pun mengesahkan bahawa dirinya seorang yang jahat. Itulah keberkesanan sebuah lakonan yang baik. Dari sudut psikologi sahaja masyarakat mudah menerima apa yang mereka nampak secara zahir.

Akan tetapi televisyen jugalah yang membuka segala rahsia kehidupan realiti seseorang artis. Bermula dari kisah kerosakan akhlak dan meleret hingga kepada penceraian rumah tangga. Perkara seperti ini biasa berlaku dalam arena artis antarabangsa atau dikatakan sebagai hollywood. Rupa-rupanya 'angin' penyakit tersebut datang dan melanda artis tempatan yang kononnya berbudaya timur. Boleh juga dikatakan sebagai melayuwood. Kesannya akan terus merebak kepada golongan yang terlalu asyik dengan hiburan. Sehari 24 jam tidak pernah habis dengan cerita gossip artis kesayangan mereka.

Penulis merasa kasihan dengan ibubapa yang mana mereka cuba mendidik anak mereka sejak dari kecil kenal apa itu dunia hiburan dan artis. Penulis lagi bertambah hairan apabila ada ibubapa yang sanggup berhabis duit mendidik anak-anak mereka yang kecil masuk menyertai pertandingan nyanyian. Walhal anak yang kecil itulah harus diajar bersolat, membaca al-quran dan mendalami pengetahuan agama. Mereka cukup risau sekiranya anak-anak tidak tahu tentang hal ehwal dunia, tetapi mereka tidak bimbang sedikit pun sekiranya anak-anak tidak pandai membaca al-quran. Tidakkah terfikir bahawa cara didikan itu akan mengundang bahana yang lebih besar dalam kehidupan peribadi anak-anak kecil tersebut?. Jangan salahkan anak sekiranya mereka tidak menghormati kita sebagai ibu bapa suatu hari nanti!.

Adalah lebih baik sekiranya artis-artis yang ada di Malaysia ini kembali kepada mengenal diri sendiri. Sebagai penghibur, anda semua berjaya untuk mengisi ruang-ruang kosong hati masyarakat yang inginkan sedikit hiburan. Tanyakan soalan yang sama kepada diri anda pula, apakah anda terhibur dengan kehidupan peribadi diri sendiri?. Mungkin anda boleh berdalih dengan pertanyaan masyarakat, tetapi hakikatnya anda tidak mampu untuk menipu diri sendiri.




No comments: