Friday 25 October 2013

::KESEMPATAN MEMBERI NASIHAT::


Sekiranya anda sebagai pembaca blog ini, diberi peluang untuk menyampaikan nasihat kepada orang yang lebih educated dan berpengalaman daripada anda, nasihat apakah yang terbaik mahu anda sampaikan?. Mungkin ada yang keliru dan tidak kurang juga yang tidak berani memberi nasihat bila kita berhadapan dengan orang yang berpelajaran tinggi. Inilah diantara ujian pendakwah. Berhadapan dengan orang yang sama tinggi ilmunya.

Penulis diberikan peluang pada tengahari tadi untuk menyampaikan kuliah Jumaat di salah sebuah masjid di Johor Bahru. Masjid yang dianggap cukup hebat dari pengisian kuliah agamanya. Kapasiti masjid yang sangat besar, apatah lagi pada waktu solat Jumaat benar-benar membuatkan penulis rasa kerdil. Mereka semua jemaah yang hebat. Mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Bercakap dengan memberi pandangan yang hebat. 

Penulis memilih tajuk Tanggungjawab Manusia Terhadap Al-Quran yang barangkali biasa didengar oleh semua orang. Hanya mengubah cara perbahasan supaya masyarakat lebih terkesan dengan apa yang disampaikan. Manusia memahami bahawa pegangan Al-Quran sekadar kita membaca atau mendengar orang membaca. Akan tetapi lebih dari itu kita tidak akan dapat mencapai maksud "BERPEGANG DENGAN AL-QURAN" selagi mana kita tidak faham apa yang kita baca.

Ayat pertama IQRA seperti mana penulis bahaskan pada artikel yang lalu sudah cukup membuktikan manusia mesti faham apa yang dibaca. Lihat imam di Masjidilharam yang seringkali membaca ayat Al-Quran lantaran menangis dengan sebab memahami bacaan tersebut. Barangkali jemaah yang solat dibelakangnya hanya suka kepada lagu bacaan tetapi sangat rugi kerana tidak memahami maksud bacaan.

Bayangkan, kita membaca ayat Al-Quran, dalam masa yang sama kita langgar hukum yang telah ditentukan oleh Allah. Kita membaca tentang ayat larangan lalai dalam solat, tetapi kita tetap lalai. Kita membaca ayat larangan mencuri, kita tetap mencuri. Semuanya kerana kita tidak faham apa yang dibaca. Jika begini cara kita, beranikah kita mengakui kita adalah orang yang berpegang kepada ajaran Al-Quran?.

Ingatlah Firman Allah swt yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu bercakap sesuatu yang tidak kamu perbuat?. Besar kemurkaan Allah bagi mereka yang bercakap tetapi tidak melaksanakannya" (Surah As-Soff ayat 2 & 3).

No comments: