Thursday 30 June 2011

Pengajaran Melalui Isra' Dan Mikraj


Jika Rasulullah saw bersama kita pada hari ini, semoga baginda akan menceritakan segala-galanya apa yang telah berlaku semasa baginda menggembara didalam perjalanan Isra' dan Mikraj. Namun umat yang terakhir ini benar-benar melupakan kisah sejarah yang tidak akan terpadam didalam kalender hijrah ini. Cukuplah dengan mengkhabarkan kisah Isra' dan Mikraj ini mampu menggetarkan hati manusia supaya takut kepada Allah swt.

Sejuta pengharapan kepada umat Islam yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, jangan dikendong pengakuan itu sekiranya akhlak dan keperibadian bukan seperti yang diajarkan oleh baginda saw. Bimbang hanya diri ini yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, akan tetapi dinafikan oleh baginda diakhirat kelak. Memperlihatkan syurga dan neraka kepada baginda, menjadi bukti akan kebenaran dan janji dari Allah. Kisah sedih serta tangisan ahli neraka yang cukup menyayat hati harus dijadikan iktibar yang panjang.

Pejuang seperti Masyitah, nama yang selalu diangkat dan dijulang. Keberanian mengaku bahawa Allah sebagai pencipta sekelian alam mengundang kemarahan firaun sehingga beliau dibunuh. Roh dan semangat yang dicipta ketika menghadap wajah bengis firaun harus disemai supaya keimanan dan ketakwaan tidak akan pernah luntur. Biar pengaduan dari si anak menjadi penyebab, orang yang mengadu domba juga bakal menerima azab yang sama.

Tidak ada perkara yang mustahil disisi Allah swt. Semuanya hanya berfirman "kun fayakun" nescaya jadilah ia. Wasiat dan peninggalan dari Nabi saw menjadi benteng yang ampuh sekiranya ia benar-benar diamal dan dihayati. Malangnya kita terus menerus berada diambang 'kesesatan' yang tidak kita sedari.

No comments: