Sunday 11 October 2009

Pelajaran Pertama Di Minggu Kedua

Perjalanan menuju ke kuliah pada hari ini amat mudah. Bas yang selalu penulis sangkakan penuh setiap hari, pada hari ini tidak begitu ramai penumpangnya. Hanya beberapa orang sahaja dan penulis bersama dengan seorang rakan yang juga teman serumah. Keluar dari rumah pada jam 6 pagi dan menaiki bas pada jam 6.20 pagi. Penulis tidak mahu ketinggalan kuliah matapelajaran pertama iaitu usulfekah. Jalan yang lengang diwaktu awal pagi memudahkan pemandu memandu dengan sedikit laju.

Setelah sampai dikuliah azhar pada jam 6.45 pagi, penulis dan rakan cuba meninjau pintu pagar Universiti al-azhar, malangnya ia masih belum dibuka. Beberapa orang anggota polis sudah pun bersiap sedia berkawal di pintu tersebut. Sementara menunggu pintu utama dibuka, penulis sempat berjalan dibelakang masjid Azhar. Terdapat seorang wanita tua yang sedang asyik menyusun berbagai jenis akhbar dan majalah di kaki lima untuk dijual. Penulis tidak ketinggalan untuk membelek akhbar hari ini dan pelbagai majalah yang lain.

Ketika sedang asyik meneliti satu persatu, penulis terpandang sebuah majalah bernama 'Tasauf Islami' . Seakan ingin mengetahui apakah isi kandungan majalah tersebut, penulis terus membeli dengan harga LE2 sahaja. Menarik bagi majalah ini ia diterbitkan sebulan sekali dengan mengikut jadual kalander bulan Islam. Membaca setiap helaian muka surat cukup memberikan banyak isi penting perkara yang berkaitan dengan tasauf. Majalah ini sesuai bagi semua peringkat umur. Adalah diharapkan pelajar azhar juga tidak ketinggalan membaca bahan-bahan ilmiah yang mampu untuk memperkayakan ilmu.




Setelah pintu utama dibuka pada jam 7 pagi, penulis masuk dan menunggu pula dihadapan pintu kuliah. Pintu masih belum dibuka. Tidak nampak pula kelibat polis yang menjaga. Lebih kurang 45 minit selepas itu, baru pintu kuliah dibuka. Hanya beberapa orang sahaja diwaktu pagi-pagi tadi. Penulis tanpa berlengah terus menaiki tingkat dua dimana bilik muhadarah tahun 3 dikunci. Sangkaan penulis sekali lagi tepat. Pintu bilik kuliah tidak dibuka, jam menunjukkan hanya beberapa minit sahaja lagi sepatutnya kelas akan bermula.

Seketika menunggu petugas membuka pintu bilik kuliah, secara tiba-tiba pensyarah matapelajaran usul fekah telah muncul. Dr Muhammad Musoili tiba pada jam 8.20 pagi. Beliau sendiri menunggu pintu bilik untuk dibuka. Hari pertama minggu kedua ini juga tidaklah begitu ramai yang hadir. Seperti minggu lepas, hanya 4 orang sahaja hadir diawal pagi tersebut. Memasuki jam 9 pagi , barulah berpusu-pusu pelajar lain masuk ke kuliah. Dr menerangkan kepada kami tentang makna usulfekah dalam pelajaran tahun 1 dari sudut pendapat mutakalimin dan fuqaha. Beberapa muka surat daripada isi kitab dapat dihabiskan dalam masa 2 jam. Penulis berharap selepas ini tidak akan ketinggalan lagi ketika apa-apa kuliah berlangsung.

No comments: